Friday, January 16, 2009

Lebih asid urik punca batu karang


“ENCIK perlu minum banyak air, elak mengambil makanan yang mengandungi sumber protein berlebihan,” demikian kata jururawat muda kepada Azman sebelum dia meninggalkan kaunter farmasi hospital swasta di ibu kota.

Dalam keadaan lemah Azman hanya mengangguk perlahan. Dia baru sahaja dibenarkan pulang setelah ditahan hampir seminggu kerana menjalani pembedahan membuang batu karang bersaiz enam milimeter pada bahagian kiri buah pinggangnya.

Secara peribadi Azman sendiri sudah dapat mengagak kesakitan yang ditanggung sejak dua minggu lalu termasuk kesukaran membuang air kecil, diikuti sakit pada bahagian pinggang, kemungkinan dia diserang penyakit batu karang _ sama seperti penyakit yang dialami ibunya kira-kira dua tahun lalu.

Bimbang perkara sama berulang, Azman mengambil keputusan berjumpa doktor lebih awal kerana setahunya keturunan turut menjadi faktor kepada penyakit itu. Setelah melakukan ujian darah, air kencing dan ujian sinaran X, tepat seperti diramal, doktor mengesahkan terdapat ketulan batu di sebelah kiri buah pinggangnya.

Menurut Pakar Urologi, Hospital Pusrawi Sdn. Bhd., Jalan Tun Razak, Dr. Abdul Rashid Abdul Subahan, penyakit batu karang turut disebabkan faktor keturunan.

Oleh kerana itu adalah tidak mustahil penyakit yang sama dialami ibu Azman sebelum itu, kemungkinan diwarisi Azman.

Gaya hidup keluarga yang suka kepada pengambilan makanan yang terlalu banyak mengandungi asid urik seperti ikan sardin, ikan bilis, limpa, hati dan kerang tidak dinafikan menjadikan peratusan kemungkinan Azman menghidapi penyakit batu karang adalah tinggi.

Membincangkan mengenai bagaimana penyakit batu karang terjadi, Dr. Abdul Rahsid berkata, ia berlaku apabila wujud serpihan kristal kecil yang membentuk ketulan di dalam saluran pundi kencing atau buah pinggang.

Serpihan kristal kecil itu tidak diketahui puncanya, bagaimanapun pengambilan makanan yang mengandungi banyak asid urik dan oxalate merupakan penyebab utama kandungan asid urik bertambah.

“Penambahan kandungan asid urik di dalam badan menyebabkan hablur kecil yang dinamakan kristal lama-kelamaan membentuk batu karang.

“Pesakit batu karang akan mengadu sakit, kencing berdarah dan kerap mengalami jangkitan kuman di sistem aliran kencing. Tempat di mana kesakitan berlaku bergantung kepada tempat batu itu berada,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenainya, beliau berkata, pembentukan batu karang mengambil masa lama dan kebanyakan pesakit tidak sedar kewujudannya, sehinggalah beberapa gejala yang menyebabkan kesakitan pada sisi perut iaitu kiri dan kanan pinggang.

Bagi kes serius, kata Dr. Abdul Rashid, pesakit akan mengalami kesakitan pada saluran kencing kerana batu karang akan menyekat pengaliran air kencing.

Keadaan ini menyebabkan penghidap tidak boleh membuang air kecil. Apabila ini berlaku, wujud jangkitan kuman yang menyebabkan demam panas.

Seseorang mungkin mengalami demam sementara, tetapi bagi sesetengah kes pula, air kencing penghidap mungkin mengandungi darah atau nanah.

Beliau berkata, penyakit batu karang boleh menyerang setiap orang dan melibatkan kedua-dua jantina.

Namun, ia lebih kerap berlaku dalam kategori umur pertengahan dan ia lebih kerap berlaku di kalangan lelaki.

“Ia dipanggil batu kerana yang terbentuk dalam badan adalah sejenis zat yang keras seperti batu jalan dan pada asasnya mengandungi unsur kalsium. Ia diberi nama karang kerana menyerupai karang laut iaitu boleh tumbuh dan membesar, mempunyai pelbagai warna dan bentuk serta mempunyai ciri kekerasan yang berbeza,’’ ujarnya.

Penyakit ini boleh terjadi pada organ tertentu seperti buah pinggang dan pundi kencing.

Pada umumnya, sebutan batu karang merujuk kepada batu yang terjadi di dalam saluran air kencing, bermula dari buah pinggang, salur ureter, pundi kencing, kelenjar prostat hingga ke salur urethra.

Terang beliau lagi, batu karang bukan penyakit baru dan memang biasa dialami masyarakat di negara ini. Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui punca sebenar penyakit ini terjadi.

Kata Dr. Rashid, jumlah penghidap penyakit itu semakin bertambah berikutan perubahan taraf dan gaya hidup masyarakat di negara ini.

Pada masa sama juga perkhidmatan kesihatan berteknologi tinggi juga menjadikan rawatan untuk penyakit ini lebih mudah dan selamat.

Menerangkan kategori utama batu karang, beliau berkata, terdapat tiga jenis utama iaitu jenis kecil, sederhana dan besar.

Batu karang kecil bersaiz kurang daripada lima milimeter, manakala sederhana antara enam milimeter hingga satu sentimeter dan batu karang besar boleh mencecah antara satu hingga dua sentimeter sehingga tiga hingga empat sentimeter atau lebih besar.

Mengenai rawatan, kata beliau, bagi batu karang kecil rawatan yang biasa digunakan adalah menggunakan ubat yang memecahkan kristal dan kemudian dikeluarkan daripada badan melalui air kencing.

Rawatan batu karang ditentukan mengikut saiznya, kesihatan pesakit, kedudukan dan jumlah batu karang itu sendiri sama ada di dalam saluran kencing atau buah pinggang.

Sebelum menjalani rawatan, pesakit perlu menjalani ujian sinaran X, sama ada ultra sound atau contras media bagi menentukan kedudukan batu karang pada buah pinggang atau salur kencing.

“X-ray contras media yang dikenali sebagai Intra Venous Urogram (IVU) digunakan bagi mengenal pasti kedudukan batu karang sama ada penyebab sumbatan atau halangan di dalam sistem air kencing dan buah pinggang.

“Adalah lebih baik pesakit mendapatkan rawatan awal jika mengalami sakit pada buah pinggang. Jika batu masih kecil, memadai makan ubat untuk menghancurkannya dan dibuang secara semula jadi melalui air kencing,’’ ujarnya lagi.

Jika batu karang tersangkut dan ukurannya lebih besar lebih satu sentimeter, kaedah menembak dilakukan untuk mengecilkan batu tersebut.

Rawatan yang diguna untuk menghancur atau membuang batu karang adalah melalui kaedah tembak batu atau lithotripsy. Kaedah itu menggunakan tenaga dari luar atau dikenali sebagai Extra Corporeal Shockwave Lithoripsy (ESWL). Ia berfungsi untuk memecah batu karang yang berukuran kurang dua sentimeter. Sejenis mesin khas digunakan dalam proses penembakan dari luar badan.

Batu karang juga katanya, boleh dibuang menggunakan endoscopic lithotripsy. Kebiasaannya endoskop dimasukkan ke dalam saluran kencing untuk dijadikan panduan memasukkan satu lagi alat bagi memecahkan batu dari dalam badan.

Selepas batu dipecahkan, cebisannya disedut keluar melalui endoskop.

Bagi kes batu karang besar, pesakit dinasihatkan menjalani pembedahan.

Menurutnya, bagi pesakit yang sudah menjalani rawatan membuang batu karang perlu mendapatkan rawatan susulan kerana dikhuatiri masih ada serpihan batu karang yang tertinggal.

No comments: