Friday, January 09, 2009

Buasir

Buasir merupakan penyakit yang terjadi pada bahagian dubur. Ia dapat dikesan dengan adanya pembengkakan pada saluran dubur. Selalunya, pesakit buasir akan mengalami kesakitan akibat daripada tekanan otot dubur ke atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar menjadi amat perit. Bengkak yang terjadi adalah disebabkan oleh pengembangan saluran darah pada bahagian dubur atau ketumbuhan sel-sel yang melapisi saluran dubur. Selain bengkak pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar juga terjadi disebabkan oleh luka yang terjadi apabila najis keras bergesel dengan buasir.

Terdapat dua jenis buasir iaitu buasir dalaman yang merujuk kepada bengkak buasir yang tertumpu pada bahagian dalam saluran dubur. Jenis kedua ialah buasir luaran di mana bengkak terjulur keluar dari bahagian dubur. Kedua-dua jenis buasir ini boleh berlaku secara berasingan atau serentak.

Dianggarkan sebanyak 50 peratus daripada penduduk di negara-negara Barat akan mendapat buasir selepas mencapai umur 50 tahun. Buasir juga sering terjadi di kalangan ibu-ibu mengandung disebabkan oleh janin yang membesar di dalam rahim ibu menekan saluran darah pada kawasan dubur sehingga menyebabkan berlakunya buasir.

Ciri-ciri penyakit buasir

Selain daripada bengkak yang amat ketara ketika mengalami buasir, tanda-tanda lain termasuklah
rasa gatal pada lubang dubur,
rasa kepanasan pada kawasan dubur selepas membuang air besar,
rasa sakit yang berdenyut-denyut,
sukar untuk membuang air besar dan rasa tidak selesa pada bahagian dubur apabila berdiri lama atau bertinggung.
Kesakitan pada bahagian dubur menyebabkan pesakit akan mengalami perubahan di dalam corak membuang air besar.

Rawatan pengubatan sendiri

Jika ada tanda-tanda penyakit buasir seperti yang dinyatakan, pesakit perlu memahami keadaan penyakit jika ingin mendapatkan ubat bagi merawat buasir. Namun demikian, sekiranya terdapat tanda-tanda tambahan seperti pendarahan, najis atau cairan terkeluar dengan sendirinya tanpa disedari, penyakit buasir yang terjadi berulangkali atau buasir yang tidak sembuh melalui pengubatan sendiri selepas seminggu, maka pesakit perlulah mendapatkan rawatan lanjut daripada doktor pakar. Ini kerana kemungkinan terdapat penyakit-penyakit yang lebih serius yang diakibatkan oleh buasir tersebut termasuklah:

1. Nanah di kawasan dubur yang disebabkan oleh jangkitan bakteria.

2. Luka pada saluran dubur yang disebabkan oleh nanah yang bocor.

3. Kanser pada bahagian dubur yang dicirikan juga dengan sembelit, pendarahan dan kesakitan pada kawasan dubur.

4. Ketumbuhan pada kawasan dubur.

Ubat untuk meredakan buasir

Untuk melegakan kesakitan ketika diserang buasir, pesakit disyorkan agar kerap membuang air besar dan memastikan najis tidak keras serta menjaga kebersihan diri terutama sekali di kawasan dubur dan menggunakan ubat buasir.

Untuk mengatasi sembelit dan memastikan najis berkeadaan lembut, pesakit disyorkan meminum banyak air dan mengambil lebih sayur-sayuran dan buah-buahan. Jika langkah ini tidak juga berkesan pesakit boleh mendapatkan ubat yang melembutkan najis seperti Metamucil ataupun julap yang menggalakkan pembuangan air besar yang lebih kerap seperti Milk of Magnesia.

Untuk menjaga kebersihan pada kawasan dubur, pesakit digalakkan untuk mencuci kawasan tersebut dengan lebih kerap dengan menggunakan sabun dan air selepas membuang air besar. Selain itu pesakit juga boleh merendamkan diri dalam air suam dua atau tiga kali sehari untuk selama 15 minit. Garam mandian juga boleh digunakan kerana ia berupaya untuk mengecutkan kawasan dubur yang bengkak.

Pilihan ubat buasir

Antara ubat yang boleh digunakan:

1. Agen Anestetik setempat

2. Pengecut saluran darah setempat

3. Pengurangan kerengsaan atau kegatalan

4. Astringen yang mengurangkan insipadu sel-sel

5. Pengurangan kesakitan dan kegatalan

Disebabkan ubat-ubatan ini digunakan secara setempat pada kawasan dubur, maka penyampaian ubat kepada buasir secara langsung adalah amat penting untuk mendapatkan kesan ubat tersebut. Dalam hal ini, ubat akan disapukan ke atas bengkak buasir luaran manakala untuk buasir dalaman, ubat disediakan dalam bentuk supositori atau paip bagi memudahkan penyampaian ubat ke kawasan dalaman dubur.

Agen Anestetik setempat

Agen anestetik atau bius setempat bertindak mengurangkan rasa sakit, gatal, pedih dan kerengsaan pada bengkak buasir melalui halangan kepada penyampaian isyarat sakit yang disampaikan oleh sistem saraf. Kebiasaannya penggunaan agen ini akan menyebabkan timbulnya rasa kebas pada bahagian yang sakit. Agen ini hanya digunakan pada buasir luaran kerana deria saraf hanya tertumpu pada bahagian luar dubur sedangkan saraf yang sama tidak terdapat pada bahagian dalaman dubur. Contoh ubat yang mempunyai tindakan menghilangkan rasa sakit adalah benzokain yang diletakkan pada buasir.

Pengecutan saluran darah setempat

Pengecutan saluran darah akan menyebabkan saluran darah yang terdapat pada kawasan dubur mengecut dan seterusnya menyebabkan bengkak buasir turut mengecut. Pemahaman mengenai tindakan ubat ini mudah difahami dengan mengambil contoh pengurangan air sungai yang dikawal oleh sebuah empangan. Sekiranya air sungai yang disekat mengalir, maka paras air sungai akan menurun sama seperti bengkak buasir yang reda akibat pengurangan bendalir yang masuk ke kawasan tersebut. Contoh ubat yang dikategorikan sebagai pengecut saluran darah adalah noradrenalin pada kepekatan 0.005 hingga 0.001 peratus yang disapukan pada bengkak buasir. Di samping itu, ubat ini juga meredakan rasa gatal pada bengkak buasir melalui kesan bius yang lemah.

Pengurangan kerengsaan atau kegatalan

Pengurangan kegatalan dengan cara menahan kehilangan air serta lembapan kulit menyebabkan timbulnya rasa gatal akibat kulit yang kering. Apabila darjah lembapan meningkat, bengkak menjadi lembut yang seterusnya mengurangkan kesakitan disebabkan tekanan yang terbentuk di atas bengkak buasir. Contoh bahan yang dapat menahan kehilangan air ini adalah seperti gliserin atau salap petrolatum yang membentuk lapisan berminyak di atas permukaan bengkak buasir.

Astrigen

Astringen bertindak melalui halangan ke atas kehilangan air atau lembapan daripada permukaan bengkak buasir. Juga, astringen mempunyai kesan tambahan ke atas sel-sel bengkak dengan memendakkan protein yang terdapat pada sel-sel tersebut. Contoh ubat yang mempunyai kesan astringen adalah krim zink oksida atau losyen kalamin yang apabila disapu pada permukaan kulit akan meninggalkan rasa sejuk pada permukaan kulit. Dengan kesan tersebut, rasa panas atau pedih pada bengkak buasir dapat diredakan.

Pengurang kesakitan dan kegatalan

Ubat jenis ini akan bertindak pada sel-sel bengkak ataupun juga dikenali sebagai sel radang dengan mengurangkan proses tindakbalas yang menyebabkan timbulnya sel-sel bengkak. Apabila tindak balas keradangan dikurangkan, maka proses pengecutan sel boleh terjadi dan buasir dapat diredakan. Contoh ubat yang mempunyai aktiviti seperti ini adalah krim hidrokortison pada kepekatan 0.5 peratus yang disapu ke atas buasir.

Sekiranya seseorang mengalami penyakit buasir, penjagaan kebersihan kawasan dubur amatlah penting untuk mencegah buasir. Langkah pencucian telah diterangkan dan paling penting adalah mengamalkan tabiat pembuangan air besar yang baik pada setiap hari. Pesakit selalunya akan dinasihatkan oleh para pengamal kesihatan untuk mengambil air yang banyak dan mengekalkan pemakanan yang seimbang dengan kandungan fiber yang tinggi untuk mencegah terjadinya buasir. Jika buasir terjadi berulangkali atau tidak reda selepas seminggu walaupun dengan menggunakan ubat buasir, maka segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut!

No comments: